Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya jangan mencabar umat Islam dengan pelbagai isu sehingga menimbulkan kemarahan mereka. Beliau memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan semua isu berkaitan agama Islam dalam negara yang dibangkitkan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2008. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata selagi diberi kepercayaan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk menerajui portfolio agama, beliau akan berusaha menunaikan tanggungjawab menangani isu itu dengan hati rela.
Beliau juga menggesa barisan kepemimpinan parti yang baru dilantik segera melaksanakan langkah pembaharuan dan penambahbaikan untuk memenuhi hasrat rakyat yang mahu melihat Umno berubah. Katanya, parti itu juga perlu memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus mengenal pasti langkah untuk mengubah semula Umno supaya kembali menjadi parti pilihan Melayu. "Saya dan barisan kepimpinan lain berikrar langkah pembaharuan dan penambahbaikan dalam kerajaan akan terus dilaksanakan... saya bersyukur kerana dapat berada di sini dan pemilihan saf kepemimpinan memperlihatkan masyarakat menterjemahkan perubahan.
"Tanggungjawab yang besar sudah diberikan. Saya dan rakan-rakan lain perlu memikulnya dan dengan rasa rendah diri akan melakukannnya demi bangsa Melayu," katanya pada sesi penggulungan, semalam. Sambil mengakui perjalanan politiknya penuh ranjau, beliau menasihatkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya terus bersabar dan cekal dalam menghadapi dugaan, selain terus memberi sokongan kepada parti. "Saya pernah terjatuh kerana terpijak 'kulit pisang', tetapi berkat kesabaran, saya masih ada di sini. Oleh itu, saya mahu Mohd Ali terus setia kepada parti dan tidak mudah mengalah kerana kesetiaan itu adalah perkara terpenting. "Mohd Ali juga jangan khuatir kerana masih ada masa untuknya. Marilah kita semua memberi penghargaan kepadanya yang cukup kental jiwa Umnonya," katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan yang turut berdiri bagi memberi penghormatan kepada Mohd Ali.
Ahmad Zahid turut berikrar akan sentiasa setia kepada Najib dan membantunya memimpin parti serta mengemudi negara. "Saya bertanggungjawab untuk membantu Presiden parti. Saya berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh jujur serta ikhlas dan sentiasa setia kepada Presiden dalam membantu beliau memimpin parti dan kerajaan," katanya. Beliau turut mengingatkan barisan kepemimpinan parti supaya berpegang kepada kata-kata Khalifah Abdul Malik Marwan bahawa semulia-mulia manusia ialah mereka yang beradab, merendahkan diri ketika berada di peringkat tinggi, memaafkan ketika mempunyai daya dan bersikap adil ketika masih kuat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment